Keadaan Bazar Ramadan selepas ribut kencang
Antara yang terkorban
JASIN: “Saya dapat berita ada ribut dan kerana tidak sedap hati saya terus ke tempat ayah berniaga, namun ketika dalam perjalanan (ke pasar Ramadan) saya diberitahu ayah meninggal.”
Begitu kata Latip Abdul, 49, anak kepada seorang peniaga cendol, Abdul Omar, 73, dari Batu 15, Kampung Air Merbau, Bemban, yang maut akibat dihempap besi kaki khemah tempat dia berniaga di Pasar Ramadan Stadium Jasin, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, dua peniaga dan seorang pengunjung pasar Ramadan berkenaan terbunuh, dua daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi beberapa jam selepas dimasukkan di hospital.
Abdul mati di tempat kejadian selepas ribut meranap dan menerbangkan keseluruhan 21 khemah besar peniaga di kawasan letak kereta di stadium berkenaan.
Pembantu gerai murtabak, Mahadi Muhammad, 39, dari Taman Maju, turut mati di tempat kejadian dipercayai terkena tapak besi kaki khemah yang diterbangkan ribut yang melanda hampir empat minit.
Pengunjung yang terbunuh dikenali sebagai Muhammad Wahab, 45, dari Kampung Rim, di sini, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka, kira-kira jam 7.15 malam. Kejadian itu mengakibatkan 17 lagi termasuk pengunjung cedera.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Zarina Hassan, 33, yang juga majikan kepada Mahadi, berkata ketika kejadian dia dan Allahyarham membungkus murtabak apabila keadaan cuaca bertukar mendung, sebelum angin bertiup kencang lalu menerbangkan khemah di hadapan mereka berniaga.
Katanya, dia yang panik terus lari menyelamatkan diri dan mendengar Mahadi memanggil namanya, tetapi ketika itu berada di hadapan.
Peniaga, Mohd Abd Latip, 56, berkata sebelum kejadian angin bertiup dengan kencang sebanyak dua kali, namun tiupan terakhir terus menerbangkan semua khemah yang ada di pasar Ramadan itu sehinggakan empat daripadanya didakwa melayang setinggi tujuh meter menyamai ketinggian lampu limpah di stadium berhampiran.
*Sumber: Harian Metro
Video 1
Video 2
p/s: Allah Maha Besar
No comments:
Post a Comment